Apa tempat yang menarik di Ipoh?

Apa tempat yang menarik dan tertarik di Ipoh? Nak tahu jawapannya? Berikut merupakan 10 tarikan di Ipoh. Jangan kata kami tak payung!

Apa tempat yang menarik kat ipoh?
Kredit Foto: http://www.ipohworld.org

Nak ke mana?

Ipoh.

Di Mana tempah tiket bas ke Ipoh?
CatchThatBus


Dulu, Ipoh dipandang sepi oleh kebanyakan orang. Kata orang, Ipoh bukanlah bandar pelancongan seperti Georgetown dan Melaka. Maklumlah, kedua-duanya Tapak Warisan Dunia. Itu dulu; dulu lain, sekarang lain.

Namun, tanggapan orang ramai sebelum ini ternyata meleset apabila Ipoh tersenarai antara 10 bandar yang perlu dilawati di Asia menurut penerbit buku panduan pelancongan, Lonely Planet. Lebih membanggakan, Ipoh berada di kedudukan keenam dalam senarai sepuluh bandar perlu dilawati di Asia pada tahun 2016. Tahniah, Ipoh!

Kini, Ipoh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bandar-bandar besar lain di Asia seperti Hokkaido, Shanghai dan Hong Kong. Yeay, Ipoh boleh! Malaysia boleh! Cantik, menarik dan tertarik; kau memang the boom, Ipoh.

Berikut adalah 10 tempat-tempat yang menarik di Ipoh.

Tempat Menarik di Ipoh: Plan B

Tempat Menarik Di Ipoh PlanB

Kredit Foto: http://thesmartlocal.com/

Plan B bukanlah pilihan kedua semasa datang ke Ipoh walaupun namanya Plan B. Anda semua wajib hadir ke sini. Plan B ialah kedai makan ala kopitiam yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana suasana yang santai dan menenangkan dengan elemen barat dan rimbunan pohon menghijau yang diterapkan dalam dekorasinya.

Plan B terletak di tengah jantung Ipoh iaitu Jalan Panglima. Anda tidak perlu risau jika tersesat untuk ke sini kerana di segenap pelusuk kawasan di sekitarnya terdapat papan tanda menunjukkan arah ke Plan B. Ia menawarkan makanan barat yang menyelerakan dan pelbagai pilihan kopi yang mampu menggugat deria rasa anda untuk terus mencuba.

Plan B sememangnya menjadi pilihan tempat untuk bersantai bersama keluarga ataupun kawan-kawan bagi warga tempatan dan para pelancong yang berkunjung ke Ipoh. Ayuh, apa tunggu lagi? Moh ke Plan B.

Tempat Menarik di Ipoh: Seni Mural

Tempat Menarik di Ipoh: Seni Mural

Kredit Foto: http://www.wanista.com/

Jika Georgetown terkenal sebagai bandar seni mural pertama di Malaysia. Kini, Ipoh sedang mengekori langkah Georgetown dengan keunikan seni muralnya yang tersendiri dan ia mampu menggamit para pelancong singgah sebentar ke Ipoh.

Seni mural di Ipoh kelihatan menyerlah dan menjadi tumpuan orang ramai kerana ia menonjol berlatarbelakangkan bangunan-bangunan zaman kolonial. Jika anda kaki selfie ataupun pencinta seni fotografi, jangan lupa untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri 8 karya Ernest Zacharevic sambil merakam detik terindah untuk dijadikan kenangan.

Berikut merupakan koordinat lokasi seni mural-mural tersebut di sekitar Ipoh:

  1. A Paper Plane (4.598776 N, 101.077827 E)
  2. An Old Uncle Drinking Coffee (4.59843 N, 101.078542 E)
  3. A Yellow Hummingbird (4.596715 N, 101.078483 E)
  4. A ‘Kopi’ Break (4.596771 N, 101.078612 E)
  5. A Bag of Coffee (4.595918 N, 101.078195 E)
  6. Girl On a Wall in Bandar Timah (4.59691 N, 101.078152 E)
  7. Old Town Relives Nostalgia with Trishaw (4.59531 N, 101.078511 E)
  8. Tin Mining Town with Chinese-Style Painting (4.5964 N, 101.079252 E)\

Tempat Menarik Di Ipoh: Pasar Karat

Tempat Menarik di Ipoh Pasar Karat

Kredit Foto: www.lianaemilia.blogspot.com

Kunjungan anda ke Ipoh tidak sah jika tidak berkunjung ke Pasar Karat (wajib singgah). Ia juga dikenali sebagai Pasar Loken atau Memory Lane yang cukup terkenal dalam kalangan peminat barangan antik dan terpakai.  

Pasar yang terletak di Jalan Horley ini akan dibanjiri oleh para peminatnya dari seluruh negara bermula pada pukul 6.30 pagi sehingga 1 tengah hari. Diingatkan bahawa pasar ini hanya dibuka pada hari Ahad sahaja. Oleh itu, anda jangan sesuka hati datang ke sini tanpa mengira hari dan waktu. Kalau tidak, alamatnya melepaslah anda untuk menikmati kemeriahannya.

Tempat Menarik Di Ipoh: Coffee King

Tempat Menarik di Ipoh: Coffee King

Kredit Foto: http://mohdzarin.com/

Fenomena kopi Starbucks jalanan mula melanda negara kita pada tahun lepas. Ia mula dipopularkan oleh Coffee King yang terletak di Taman Cempaka. Ketika itu, orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli pelbagai jenis kopi yang disediakan oleh Coffee King. Sehingga kini, Coffee King sentiasa menjadi tumpuan orang ramai dan terus viral di media sosial.

Atas sambutan yang memberangsangkan, cawangan terbaru Coffee King kini dibuka pula di Meru. Walaupun gerai Coffee King ini mula dibuka pada jam 4 petang, namun pengunjung sudah mula beratur panjang sebelum gerai dibuka lagi. Ini adalah fenomena biasa di gerai Coffee King. Benda sedap, menunggu lama pun orang sanggup. Betul tak? Walaupun beratur panjang, tapi proses pembeliannya sangat cepat.

Terdapat 6 pilihan kopi yang ditawarkan iaitu Ice Coffee, Ice Black Coffee, Ice Cocoa, Ice Tea, Ice Green Tea dan Ice Lime Tea. Menariknya, kesemua perisa ini dijual dengan harga RM5 sahaja (harga mampu dibeli). Murah dan berbaloi, bukan? Nampak gayanya hari-hari pun boleh beli. Keistimewaan Coffe King adalah mereka menggunakan gula perang dan susu sejat bagi mendapatkan rasa kopi yang unik.

Tempat Menarik Di Ipoh – Tasik Cermin

Tempat Menarik di Ipoh - Tasik Cermin

Kredit Foto: www.flickr.com

Tasik Cermin mula viral dan menjadi tumpuan orang ramai pada awal tahun ini. Kedudukannya yang tersembunyi menyebabkan ia sukar untuk dijejaki oleh para pelancong. Ledakan media sosial menyebabkan penemuan tasik indah ini cepat tersebar dan mula dikunjungi oleh orang ramai.

Tasik ini terletak 5km dari Tol Simpang Pulai dan jika ingin berkunjung ke sini melalui Lebuhraya Utara Selatan, anda boleh keluar dari Tol Simpang Pulai (Exit 137). Selepas tiba di persimpangan lampu isyarat, belok ke kanan dan terus menghala ke Ipoh sejauh 4km sehingga berjumpa ACM Automotive Corp (sebelah kanan).

Teruskan perjalanan anda sehingga berjumpa kawasan batu kuari yang masih beroperasi sehingga kini. Jika anda kurang pasti akan lokasinya, anda boleh bertanya dengan para pekerja kuari akan lokasi pintu masuk gua yang terdapat di Tasik Cermin ini.

Walaupun agak sukar untuk menjejaki Tasik Cermin ini, tetapi percayalah bahawa penat-lelah anda berbaloi apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan ini. Jika tidak silap, Tasik Cermin ini pernah menjadi lokasi penggambaran filem Sepet beberapa tahun lepas.

Tempat Menarik Di Ipoh: Kellie’s Castle

Tempat Menarik Di Ipoh - Kellie's Castle

Kredit Foto: www.flickr.com

Ipoh dan Kellie’s Castle sangat sinonim dan tidak dapat dipisahkan (umpama laut dan pantai). Oleh itu, mana mungkin kami boleh melupakan Kellie’s Castle dalam senarai 10 perkara yang menarik dan tertarik di Ipoh.

Kellie’s Castle dikenali juga sebagai Rumah Kellas dan dibina oleh William Kellie Smith yang merupakan seorang peladang getah terkemuka British di Tanah Melayu pada ketika itu pada sekitar tahun 1910. Bangunan ini dibina mengikut reka bentuk sebuah Istana Moghul di Agra, India dan semua tukang binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras.

Jika berkunjung ke sini, lupakan seketika sisi seramnya, sebaliknya nikmatilah keunikan dan keindahan seni bina bangunan ini yang memakan masa bertahun-tahun lamanya untuk disiapkan. Menariknya, lif pertama di Tanah Melayu terdapat di sini.

Tempat Menarik Di Ipoh: Kopi Putih

Tempat Menarik di Ipoh Kopi Putih

Kredit Foto: www.pinterest.com

Kopi adalah tradisi warga Ipoh yang terkenal zaman-berzaman. Di bumi bertuah inilah, tempat lahirnya kopi putih yang lebih dikenali sebagai white coffee oleh orang ramai. Apabila disebut tentang Ipoh, pasti terbayang akan white coffee dalam minda.

Dari mana asalnya Oldtown White Coffee kalau bukan dari Ipoh. Di bawah M Boutique Hotel, terletak sebuah kafe bernama Oldtown White Coffee Grand, sebuah kafe khas untuk peminat kopi. Jangan lupa berkunjung ke sini jika anda ingin menikmati keaslian kopi putih di tanah tumpah kelahirannya. Anda berada dalam kerugiaan jika berkunjung ke Ipoh namun melepaskan peluang menikmati white coffee yang menjadi kegilaan ramai orang.

Tempat Menarik di Ipoh: Nasi Ganja & Mi Kicap

Tempat Menarik di Ipoh nasi ganja & mi kicap

Kredit Foto: www.caridestinasi.com

Masyarakat berbilang kaum yang hidup secara aman dan harmoni di sini berkongsi pelbagai makanan yang menyelerakan. Maka, tidak hairanlah jika semua kaum berkumpul di sesebuah warung untuk menikmati juadah yang disediakan bersama-sama seperti nasi ganja, mi kicap, kuey teow kari dan sebagainya.

Tidak sah kunjungan anda ke Ipoh jika tidak makan nasi ganja. Sekali makan pasti terus ‘ketagih’ dan teringat-ingat akannya. Mana anda nak cari nasi ‘ganja’ Yong Suan di tempat lain? Anda tidak akan jumpa kecuali di Ipoh. Nasi ganja yang menjadi hidangan kebanggan kaum Mamak di sini menjadi pujaan semua kaum pada setiap hari.

Bagi makanan kaum Cina pula, pasti mi kicap akan dicari dan cukup terkenal di sini. Kombinasi mi, kuah sup, kicap, bebola ikan dan kek ikan menjadikan menu ini cukup istimewa dan menjadi salah satu makanan wajib dicuba di Ipoh. Gerai Daud Mat Jasak sentiasa menjadi sebutan dan pilihan jika ingin menikmati menu ini walaupun diusahakan oleh peniaga Melayu. Itulah keunikan Ipoh.

Tempat Menarik Di Ipoh – White Water Rafting

Tempat Menarik di Ipoh: White water rafting

Kredit Foto: www.aspenholidays.com.sg

Lonely Planet turut menyenaraikan aktiviti white water rafting di Sungai Kampar, Gopeng sebagai aktiviti yang wajib dicuba ketika di Ipoh.

Sungai Kampar mempunyai 22 jeram berbeza yang terdiri daripada gred 2 hingga gred 3. Dari merentasi jeram besar, sehinggalah menikmati keindahan hutan hujan yang subur dan tenang, masa yang dihabiskan dengan alam semula jadi akan menjadikan hari anda penuh menyegarkan dan menceriakan.

Water rafting di Sungai Kampar sangat sesuai bagi peserta yang tidak mempunyai sebarang pengalaman. Aktiviti sebegini sesuai untuk mereka yang beradrenalin deras dan sukakan cabaran. Aktiviti ini cukup memuaskan hati jika anda berjaya menempuhinya dengan jaya.

Tempat Menarik di Ipoh Yasmin At Kong Heng

Tempat Menarik di Ipoh kong heng

Kredit Foto: www.ssg.startsomegood.com

Kebanyakan karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad difilemkan di Ipoh seperti Sepet, Gubra, Talentime dan Muallaf. Lantaran itu, sebuah muzium telah dibuka di Ipoh, Perak untuk mengiktiraf hasil-hasil kerja dan legasi pengarah filem hebat ini, dan muzium ini dinamakan Yasmin at Kong Heng. Walaupun Yasmin Ahmad telah jauh di mata namun dia masih dekat di hati para peminat. Al-Fatihah untuk beliau.

Yasmin at Kong Heng terletak di Jalan Sultan Yussuf, Ipoh, Perak dan hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad 10 pagi sehingga 6 petang.


Adakah anda tertarik dan tidak sabar untuk melancong ke Ipoh, sebuah destinasi bertaraf antarabangsa? Jika ya, sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk ke sana dengan menggunakan pengangkutan udara, ETS dan bas ekspres.


Untuk cara yang cepat lagi menjimatkan, anda boleh menaiki bas dari mana-mana destinasi dan turun di Terminal Aman Jaya. Terdapat satu rahsia yang belum dibongkarkan sehingga kini dalam kalangan pelancong, anda boleh membeli tiket bas tanpa perlu beratur panjang di kaunter iaitu di laman web CatchThatBus atau pun menerusi aplikasi CatchThatBus dengan memuat turun di App Store atau Google Play Store. Dengan beberapa klik di hujung jari anda, tiket bas sudah berada di tangan anda dalam masa 5 minit sahaja. Mudah, bukan? Apa tunggu lagi, moh ke Ipoh! Ipoh Mali talak sombong.

Beli Tiket Bas Anda Sekarang di www.catchthatbus.com

Author: admin

The admin of CatchThatBus blog is travel junky who loves travelling.