AMARAN: Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini

Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pengalaman. Pengalaman yang kita perolehi bukan sahaja melalui pembelajaran secara formal tetapi juga pembelajaran secara tidak formal melalui pelbagai perkara yang berada di sekeliling kita.

Mengembara adalah satu aktiviti pembelajaran secara tidak formal. Melaluinya, kita dapat mempelajari pelbagai perkara termasuk mempelajari tentang budaya, makanan, asal-usul dan sejarah sesuatu tempat dan masyarakat.

Hayati perbezaan antara kita semua dan hargainya walaupun berbeza fahaman agama, bahasa, kaum dan budaya. Janganlah kita memperlekeh dan memperkecilkan perbezaan sesuatu perkara kita perhatikan yang berbeza daripada kita seperti nama enam tempat ini:

PARIT, PERAK

Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini
Kredit Foto: www.lensafikiran.blogspot.my

Ada yang berseloroh apabila mendapat tahu terdapat sebuah tempat di Perak bernama Parit.

“Takkan orang Perak duduk di Parit. Kotorlah. Tiada tempat lain ke nak diduduki?”

Parit berjiran dengan Tronoh, Seri Iskandar, Bota, Pusing, Beruas dan Batu Gajah dan berada dibawah pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah yang beribu pejabat di Seri Iskandar, Bota Kanan, Perak Darul Ridzuan.

Mengikut sejarah yang disampaikan oleh orang tua-tua, asal-usul nama Parit berkaitan dengan Tok Parit, warga Sumatera yang merupakan peneroka asal bandar ini. Beliau merantau dan meneroka Parit sekitar tahun 1600. Kebanyakan penduduk asal Parit merupakan orang Kampar, Sumatera. Penempatan awal mereka di sekitar tebing Sungai Perak.

BAU, SARAWAK

Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini
Tasik Biru, Bau, Sarawak. Kredit Foto: www.expatgo.com

Walaupun namanya Bau, namun ia tidak berbau sekarang. Jangan risau untuk datang ke mari. Itu cerita dulu.

Bau merupakan sebuah pekan bekas melombong emas yang terletak hanya 22km dari Kuching dan bersempadan dengan Kalimantan. Kini, tarikan utamanya adalah dua buah gua batu kapur yang menakjubkan iaitu Gua Pari-Pari dan Gua Angin. Ia merupakan destinasi utama bagi aktiviti memanjat bukit berbatu di Kuching.

Nama Bau pula dipercayai diambil daripada nama “Mau San” yang diberikan oleh pelombong-pelombong Cina di sini. Ada sesetengah pihak pula berpendapat bahawa nama ini diberikan kerana baunya yang dikuasai oleh bau beribu-ribu mayat yang telah terkubur di sini.

SONG, SARAWAK

Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini
Kredit Foto: www.mysarawak.weebly.com

Di sini, bukanlah tempat berkaraoke walaupun namanya Song yang bermaksud lagu dalam bahasa Melayu.

Song adalah sebuah pekan dan ibu daerah kepada Daerah Song di Bahagian Kapit, Sarawak. Pekan ini terletak di tebing Sungai Katibas, anak sungai Sungai Rajang. Populasi Song dibentuk oleh kaum Iban dan diikuti oleh Orang Ulu, Cina, Melayu, Melanau dan Bidayuh. Ia merupakan perhentian penting untuk trafik sungai menuju ke Sungai Rajang.

Sebelum ini, nama daerah Song dikenali sebagai ‘long’ oleh kaum Kayan yang bermaksud anak sungai. Disebabkan kalah pertempuran dengan kaum Iban, nama tersebut ditukar kepada Song sempena nama salah seorang pahlawan Iban yang mengetuai peperangan tersebut.

Kumpulan di bawah pimpinan Song ini merupakan kaum yang pertama menjelajah bumi Song dan kemudiannya menetap di sini. Mengikut sejarah kaum Iban, asal usul kaum tersebut adalah dari Indonesia.

BIAWAK, SARAWAK

Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini
Kredit Foto: www.bombasticborneo.com

Biawak ialah nama sejenis reptilia yang menyerupai buaya tetapi lebih kecil dalam bahasa Melayu. Anda dah pernah pergi ke Biawak?

Menariknya, di Sarawak ada sebuah penempatan yang diberi nama Kampung Biawak di daerah Lundu, yang terletak di sempadan Kalimantan, Indonesia dan terletak lebih 100km dari ibu negeri, Kuching.

Selain penduduk Kuching dan Samarahan, tidak ramai yang mengetahui mengenai kampung ini, yang terdiri daripada masyarakat Bidayuh mewarnai lanskap di sepanjang 18km Jalan Biawak. Jalan itu sendiri adalah cabang daripada jalan utama Pan Borneo.

MENGGATAL, SABAH

Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini
Kredit Foto: www.upload.wikimedia.org

Jangan ingat orang di sini suka menggatal. Mereka orang baik-baik bah.

Menggatal adalah sebuah bandar kecil dan merupakan sebuah sub-daerah yang terletak di pantai barat Sabah, Malaysia. Ia terletak di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Nama ‘Menggatal’ diambil sempena nama sejenis pokok mangga yang mengeluarkan yang buahnya apabila dimakan boleh menyebabkan kegatalan. Tempat itu kemudian disebut “Mangga Gatal”, namun lama kelamaan sebutan itu diringkaskan menjadi “Menggatal”.

DESA TEMU JODOH, JOHOR

Jangan Ketawa Ketika Baca Nama 6 Tempat Ini
Kredit Foto: www.segamat.com.my

Berdoalah supaya kunjungan anda ke sini akan dipertemukan dengan jodoh. Amin.

Perkampungan yang dibuka kira-kira 44 tahun lalu itu terletak kira-kira 20km dari pekan Yong Peng, Batu Pahat dan 60km dari Bandar Segamat dan terletak di antara sempadan daerah Segamat dan Batu Pahat. Ia terletak di pekan kecil Chaah.

Kampung itu dikatakan mendapat nama sempena majlis perkahwinan secara serentak membabitkan 24 pasangan suami isteri, yang kebanyakannya peserta Tanah Rancangan Muda kelolaan kerajaan negeri Johor yang mula dibuka pada 30 Oktober 1972.

Adakah anda ketawa ketika membaca enam nama tempat ini? Janganlah ketawakan nama kampung atau bandar kelahiran orang lain, itulah keunikan mereka yang tidak terdapat pada tempat-tempat lain.

Jika anda teringin melawat tempat ini, tempah saja tiket bas anda sekarang di laman web atau aplikasi CatchThatBus. Dalam masa 5 minit sahaja, anda akan dapat tiket bas anda dan tidak perlu beratur panjang di terminal bas lagi. Senang, bukan?

Author: admin

The admin of CatchThatBus blog is travel junky who loves travelling.